Saturday 2 August 2014

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM PENDIDIKAN

           Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, keperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju untuk abad ke-21.  Modal insan yang ingin dihasilkan oleh Perdana Menteri Malaysia adalah yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran yang lebih global dan sering berubah-ubah (Marzita, 2006).

            Menurut Hasani (2006) Kementerian Pendidikan Malaysia diberikan tugas yang berat sebagai pemimpin yang dapat menghasilkan generasi muda Malaysia berpontensi, mempunyai pelbagai kemahiran serta dapat membentuk cirri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi negara di mata dunia, selari dengan hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara.

            Falsafah pendidikan  Negara memberikan gambaran yang jelas dalam membentuk individu yang ingin dihasilkan melalui sistem pendidikan iaitu individu yang seimbang dari segi intelektual, emosi, jasmani dan rohani. Ini dapat merupakan tonggak utama dalam pendidikan negara:

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih 
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk 
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan 
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah 
bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, 
berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai 
kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan 
kemakmuran keluarga, masyarakat, dan Negara.
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 1993)

           Seperti yang kita setia maklum bahawa misi dan visi pendidikan di Malaysia adalah berjuruskan kepada Wawasan 2020.  Ini bermaksud kerajaan ingin membentuk sebuah masyarakat yang maju pada abad ke-21. Oleh yang demikian, bidang pendidikan telah menghadapi tugas yang berat dan besar bagi memartabatkan bangsa Malaysia bagi mencapai kejayaan. Manakala misi pendidikan:

Mewujudkan sistem pendidikan yang terbaik demi menghasilkan insane yang mempunyai 
daya ketahanan yang tinggi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat 
dan Negara.
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 1993)

           Justeru itu visi pendidikan adalah pemahaman dan penghayatan Falsafah Pelajaran Negara dan misi pendidikan berdepan dengan cabaran masa depan melalui praktis dan amalan di sekolah. Penghayatan dan pegangan ini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seperti perkhidmatan penyayang, budaya cemerlang, peningkatan akuantabiliti, pengurusan yang cekap dan berkesan serta amalan pendidikan yang berpandukan ilmu dan akhlak.

          Oleh yang demikian, kurikulum merupakan  bahan utama dalam proses pendidikan. Manakala peranan kepimpinan pendidikan sebagai agen pelaksana visi dan misi pendidikan di Malaysia perlu memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan aspek-aspek yang turut membantu seperti persekitaran, budaya sekolah dan tenaga pengajar (Aziah, Yaakob dan Yahya 2006).

No comments:

Post a Comment