Friday 1 August 2014

PENGENALAN KEPADA MODAL INSAN

         Dalam perutusan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (2006), beliau telah berucap mengenai modal insan, seperti petikan di bawah:


“Modal insan yang berkualitii adalah satu kemestian, bukan lagi satu 
kemewahan.  Kerajaan dan rakyat harus bersama-sama mempunyai 
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen. Pendidikan 
dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal 
insane negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta 
mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang 
kian meningkat.”

Bila kita hayati petikan ucapan dari YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, kita sedar bahawa rakyat merupakan asset yang paling berharga bagi sesebuah negara.  Dengan adanya modal  insan, aset negara yang bernilai itu boleh disuntik nilainya, dapat  ditingkatkan inteleknya serta diperkaya modal budayanya.  Pembangunan modal insan adalah pemangkin bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara.   Malah pembangunan modal insan perlu dirancang dengan rapi bagi melahirkan guna tenaga yang terlatih dan berdaya saing  dan mencukupi dengan keperluan negara untuk abad ke-21.  Malah pembangunan modal insan ini juga bersesuaian dengan kehendak industri dan pasaran untuk masa akan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2006).

             Modal insan merupakan individu yang tidak bersifat individualistik tetapi bersifat sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang berilmu, berkeyakinan, memiliki nilai yang murni dan moral yang tinggi. Juga beretika, berbudi pekerti,  bersopan santun, mempunyai keluarga yang mantap berdisiplin, dinamik, berdaya tahan tinggi, berinovasi, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, cekal, berintegrasi dan berdaya saing.

            Modal insan ini penting untuk mewujudkan personaliti yang unggul dan setiap individu perlu mengamalkan setiap unsur-unsur dalam modal insan demi menentukan hala tuju negara, bangsa dan
agama. Sebagaimana memetik kenyataan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Belanjawan 2005 menjelaskan bahawa:


“Kemajuan dan kekuatan ekonomi bukanlah 
segala-galanya. Ia perlu dilihat sebagai landasan 
untuk mencapai kesejahteraan hidup dan keutuhan 
sosial. Lantas, perseimbangan kebendaan dan 
kerohanian sangatlah penting supaya akan lahir 
tamadun yang agung. Kita perlu bersama-sama 
mengambil langkah memperkaya jiwa bangsa, 
tradisi, budaya dan agama tidak seharusnya 
menjadi halangan kepada kejayaan sebaliknya 
perlu digarap sebagai tunjang mendaki ke mercu 
kecemerlangan yang akan mengangkat martabat 
bangsa dan kewibawaan negara di mata dunia”.

             Dalam perutusan sempena menyambut Hari Pekerja 2006, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menegaskan bahawa dalam konteks dunia global hari ini, modal insan yang benar-benar berkualiti adalah suatu kemestian. Sebagaimana kata-kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya:


“Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi 
berpaksikan pengetahuan serta ingin menjadi 
bukan sahaja sekadar mana-mana negara maju 
tetapi negara maju yang mempunyai identitinya 
sendiri serta mampu terus kekal pada tahap itu, 
pembangunan modal insan berminda kelas pertama 
harus diutamakan”.

                Pembentukan modal insan harus dilihat secara menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan dalam individu dan masyarakat di negara ini. Oleh itu, terdapat pelbagai aspek yang perlu diberi
penekanan dalam usaha membina modal insan yang bersepadu, iaitu ilmu pengetahuan, daya intelek, kemahiran, tahap peningkatan ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.

               Menurut Ibn Khaldun (1993), faktor pembeza antara masyarakat bertamadun dengan tidak bukanlah terletak pada pembahagian kerja, tetapi terletak kepada peningkatan (produktiviti) pekerjaan. Masyarakat bertamadun merasa tidak cukup dengan adanya pelbagai jenis pekerjaan antara mereka, sehingga mereka
merasa perlu mewujudkan pelbagai bentuk peningkatan(produktiviti) pekerjaan yang berbeza-beza di antara mereka. Kemahiran tenaga kerja akan menggunakan sumber alam dan kekuatan modal insan
secara optimum dan intensif untuk kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.

               Tambahan pula dalam mentakrifkan perkataan “tamadun”, sangat jelas ungkapan tersebut mempunyai kaitan secara langsung dengan akhlak, iaitu kehalusan budi pekerti dan pembangunan perbandaran atau penempatan. Petikan berikut menjelaskan perkaitan
antara tamadun dan akhlak, iaitu:


…tamadun boleh ditakrifkan sebagai sejumlah 
pencapaian dan pembangunan dalam segala 
perlakuan, pemikiran dan kemajuan, kesenian, 
kesusasteraan dan lain-lain yang tinggi, baik, halus 
dan sopan kea rah pembentukan peribadi dan 
komuniti yang memiliki personality, tatasusila dan 
budi pekerti yang terpuji untuk membentuk sebuah 
masyarakat atau Negara bangsa.

               Selaras dengan itu, pengurusan modal insan menekankan kepada proses persiapan tenaga insan yang melibatkan usaha-usaha  menggemblengkan segala input di dalam sesebuah organisasi dengan cara paling optimum untuk mencapai objektif organisasi. Pengurusan ini juga meliputi proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan memantau segala aktiviti anggota-anggota dalam sesebuah organisasi dengan menggunakan segala sumber organisasi yang ada bagi mencapai objektif organisasi yang ditetapkan.

               Pengurusan dan seterusnya pembangunan modal insan ini perlulah sentiasa  digilap kerana ia merupakan elemen penting bagi memastikan organisasi khususnya, terus berdaya saing dan berdaya tahan terutama dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan dan bertunjangkan sains dan teknologi. Oleh kerana itu, pembangunan modal insan dalam konteks pengurusan Islam bukan sahaja setakat peningkatan tahap pendidikan, mempunyai kemahiran dan ciri-ciri akhlak yang mulia, berkeyakinan malah ia berkaitan dengan menghasilkan rakyat yang mempunyai pemikiran minda kelas pertama ke arah  mengejar al-Falah iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment